SKUAD pelayaran negara terlepas dua pingat emas Sukan Asia 2010 ekoran taktik kotor tuan rumah, China.
Semalam, skuad pelayaran negara hampir menambah koleksi emas kepada kontinjen Malaysia dalam acara Dinghy Optimist lelaki dan Double Handed Dinghy 420 wanita.
Namun mereka terpaksa akur dengan taktik kotor China yang 'menekan' juri supaya tidak menerima bantahan daripada tujuh negara lain berikutan kesalahan yang dilakukan pelayar tuan rumah.
Menurut pengurus skuad pelayaran negara, Mohd. Affendy Abdullah, dalam dua acara tersebut, pelayar China didakwa menghalang laluan perahu pelayar negara dan menggunakan kemudi (pendayung) terlalu kerap, sekali gus melanggar peraturan pertandingan antarabangsa.
"Oleh kerana tiupan angin tidak terlalu kuat, maka pelayar China telah menggunakan kemudi (pendayung) terlalu kerap.
"Malah ada suatu ketika, mereka juga telah menghalang perahu pelayar kita, jadi mereka melakukan dua kesalahan dalam perlumbaan.
"Kesalahan ini amat jelas sekali, ada tujuh negara termasuk kita telah mengemukakan bantahan, jadi ini bermakna bukan Malaysia saja yang sedar tentang taktik kotor China.
"Tetapi saya tidak tahu mengapa juri menolak bantahan yang dikemukakan itu. Jelas sekali China menghasut juri-juri dan memberi tekanan ke atas mereka supaya tidak menerima bantahan tersebut," kata Affendy semalam
Berikutan insiden itu, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan dua pingat perak menerusi Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan (Dinghy Optimist lelaki) dan pasangan Khairunnisa Mohd. Affendy-Norashikin Mohamad Sayed (Double Handed Dinghy 420 wanita).
"Jika bantahan ini diterima, sudah pasti kita akan mendapat dua pingat emas," katanya.
Sementara itu, gandingan negara, Ku Anas Ku Zamil dan Mohamad Hafizzudin Mazelan beraksi cemerlang dengan memenangi pingat gangsa acara Double Handed Dinghy 420 lelaki.
Pada Sukan Asia 2006, skuad pelayaran negara menyumbang satu emas menerusi Rufina Tan dalam acara Optimist wanita dan satu gangsa menerusi Nurul Elia Anuar (Laser 4.7 Open wanita)
Haprak Setiap Masa
No comments:
Post a Comment