KOTA BHARU 12 Okt. - Beberapa nama termasuk seorang pemimpin Orang Asli disebut-sebut sebagai bakal calon yang akan mewakili Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 4 November ini, selepas penyandang kerusi tersebut, Chek Hashim Sulaima meninggal dunia pada 27 September lalu.
Difahamkan kesemua nama tersebut telah dibawa ke Majlis pakatan rakyat untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan pada 22 Oktober ini.
Antara nama yang disebut-sebut itu kepimpinan Pas kawasan Gua Musang iaitu Ketua Dewan Pemuda, Abdullah Husein; Timbalan Yang Dipertua, Dr. Zulkefli Mohamad; Naib Yang Dipertua, Husin Embong; Setiausaha, Azman Ahmad dan Ketua Perhubungan Orang Asli DUN Galas, Pandak Panjang Ey.
Bagaimanapun menurut sumber, Dr. Zulkefli mungkin tidak dipilih disebabkan rekod sebelum ini di mana beliau pernah tewas dua kali pada pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Gua Musang kepada Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya, pemilihan Pandak sejajar dengan kehendak kepemimpinan parti yang mengiktiraf kaum pribumi itu seiring dengan kemajuan negara.
"Pada masa sekarang, tumpuan lebih terarah kepada Abdullah, Azman dan Husin kerana ketiga-tiga mereka memainkan peranan penting ketika Allahyarham sedang sakit.
"Abdullah dan Azman adalah guru agama manakala Husin seorang ahli perniagaan. Kedua-dua mereka mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk membawa cabaran Pas pada pilihan raya kecil ini,"
Dr. Zulkefli merupakan pengamal perubatan dan memiliki sebuah klinik di Ciku, Gua Musang.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim menewaskan Mohamad Saufi Deraman daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi, tetapi pada 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.
Bagi kerusi Parlimen Gua Musang, Dr. Zulkefli tewas kepada Tengku Razaleigh dengan majoriti 4,394 undi pada Pilihan Raya Umum lalu.
Menurut sumber itu, proses pemilihan calon Pas bermula daripada peringkat cawangan sebelum diangkat ke peringkat kawasan dan dibawa ke negeri.
"Lebih daripada empat orang tetapi seperti proses biasa kita perlu mendapatkan maklum balas dari cawangan sebelum nama ini disenarai pendekkan, ini adalah Kajian Awal Pilihan Raya yang kita jalankan setiap kali menjelang pilihan raya.
"Proses pemilihan calon ini akan bermula dari bawah, kemudian kita akan kemukakan tiga nama kepada pusat sebelum keputusan muktamad dibuat dan mendapat pengesahan dari Majlis Syura Ulama," katanya.
Pilihan Raya Kecil DUN Galas adalah pilihan raya kecil ke-12 dan kali kedua di Kelantan selepas Manek Urai sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.
sumber Pengundi Setia
No comments:
Post a Comment