Tuesday, August 20, 2013

Pemuda UMNO Tentang Peminjam Tegar PTPTN Disenarai Hitam



KUALA LUMPUR 20 Ogos - Hasrat kerajaan meneyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ditentang oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan seharusnya mengambil pendekatan lain bagi mengumpul kembali dana yang dipinjam dari badan tersebut dan bukannya menyenaraihitamkan dibawah CCRIS.

"Keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Khairy, hutang pendidikan PTPTN merupakan keperluan bagi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan ianya bukanlah pinjaman pilihan peribadi seperti pinjaman kad kredit atau pinjaman kenderaan.

"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi dan keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma mahupun ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda," katanya.

Jelasnya, PTPTN harus menggunakan kaedah yang lebih efisyen bagi memberi imej yang lebih baik terhadap badan yang memberi bantuan kepada golongan muda untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi

Pandangan Khairy turut dikongsi Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia Muhammad Safwan Anang yang menganggap tindakan memasukkan peminjam PTPTN yang ingkar dibawah CCRIS akan membebankan golongan muda.

“Walaupun kami menuntut PTPTN dimansuhkan, namun tindakan yang boleh menyebabkan penyenaraian hitam nama kepada peminjam PTPTN itu perlu dikaji semula," ujarnya.

No comments: