Monday, February 7, 2011

PAS Sudah Undur Diri Di PRK Merlimau

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Barisan Nasional (BN) yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dilihat kemungkinan boleh mengekalkannya tanpa cabaran jika Pakatan Rakyat khususnya PAS memutuskan untuk tidak meletakkan calon mereka kali ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau akan berlangsung 6 Mac ini.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa pemimpin kanan PAS sedang melobi untuk tidak menurunkan calon mereka di kubu kuat BN itu.

"Kita perlu memilih pertarungan, kita tidak boleh bertanding hanya kerana adanya kekosongan. Kosnya tinggi dan ini masa untuk kita memfokus pada pilihan raya umum," kata seorang anggota biro politik PAS yang tidak mahu namanya didedahkan.

Daripada 14 pilihan raya kecil sejak 2008, PAS bertanding tujuh kali dan menang empat.

Kali terakhir PAS memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil ialah Januari 2007, yang diadakan ekoran kekosongan kerusi DUN Batu Talam di Pahang.

PAS menggariskan kelemahan proses pilihan raya sebagai alasan memulau pilihan raya kecil ketika itu.

"Kecuali beberapa pemimpin yang ghairah mahu mengadakan bilik gerakan di Merlimau, kebanyakan kami di peringkat nasional tidak cenderung untuk bertanding," kata sumber itu.

Pemimpin jawatankuasa kerja PAS pusat itu berkata halangan dihadapi hanyalah hasrat kepimpimpinan parti peringkat negeri dan kawasan Jasin.

Perkara itu dijangka dibincangkan pada mesyuarat Pakatan Rakyat petang ini.

Biro politik PAS akan mengadakan mesyuarat mereka malam ini.

The Malaysian Insider isu tersebut akan disentuh dalam kedua-dua mesyuarat itu.

Dipercayai Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Merlimau menyokong idea itu.

Seorang lagi pemimpin PAS berkata parti itu perlu membuat keputusan itu sebelum memujuk rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat mengambil langkah yang sama
Haprak Setiap Masa

No comments: