Friday, November 19, 2010

Jadi calon atau tanding di Lembah Pantai biar PM tentukan, kata Nong Chik

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan sama ada beliau akan dipilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13, lebih-lebih lagi diturunkan di kawasan Lembah Pantai.

"Itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan (sama ada bertanding atau tidak).

"Ia bukan hak saya," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kerusi Parlimen Lembah Pantai kini disandang oleh Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas merampas kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Nurul Izzah menewaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Terdahulu, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai percaya BN akan merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

Pakatan Rakyat menyapu bersih 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Melihat kepada kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat saya percaya peluang BN untuk menang lebih cerah.

"Tapi sekarang pemimpin BN perlu berusaha dan bekerja keras untuk selesai masalah rakyat.

"BN juga perlu berusaha tunaikan janji dan dengar rintihan rakyat," katanya ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk Bangsar.

Raja Nong Chik berkata hasil daripada pertemuan tersebut mendapati masalah kesesakan lalu lintas di Bangsar dilihat semakin serius ekoran jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

"Hari ini saya telah mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk Bangsar dan mendapat respons bahawa masalah kesesakan lalu lintas semakin teruk di kawasan ini.

"Masalah kesesakan ini berlaku pada masa-masa tertentu, hasil daripada pertemuan ini kita akan bawa dan selesaikannya.

"Kita akan cara jalan penyelesaiannya, kita juga akan menaik taraf jalan di Bangsar ini untuk mengatasi masalah kesesakan yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Kuala Lumpur ini hanya akan dapat diatasi sekiranya rakyat menggunakan pengangkutan awam.

"Penyelesaiannya adalah menggunakan pengangkutan awam.

"Buat apa pun tidak akan jadi sekiranya rakyat tidak menggunakan pengangkutan awam.

"Kenderaan sekarang banyak sebab itu jalan sesak, jadi bila gunakan pengangkutan awam masalah ini boleh diatasi," katanya.

Menurut Raja Nong Chik, kesedaran masyarakat berhubung menggunakan pengangkutan awam semakin baik berbanding tahun sebelum ini.

"Jumlah pengangkutan awam semakin meningkat, keadaan sekarang dah berubah kerana ramai yang mula sedar tentang kepentingan pengangkutan awam," katanya.
Haprak Setiap Masa

No comments: